KUALA LUMPUR, 26 Jan: PKR sambut baik usaha DAP untuk berbaik dan bekerjasama semula dengan PAS demi menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Menurut Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau menganggap kenyataan DAP ini sebagai satu langkah positif menuju ke arah penyatuan semua parti politik dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan tertinggi.
“Ini pastinya menuntut kebijaksanaan dan pendekatan inklusif dengan mengenepikan perbedaan pendekatan dan politik kepartian demi matlamat menyeluruh yang lebih penting iaitu menyelamatkan negara dan bangsa daripada belenggu pemimpin rasuah dan kerajaan kleptokrat,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.
Walaubagaimanapun, Menteri Besar Selangor itu turut berpandangan usaha ini hanya boleh tercapai sekiranya kedua-dua belah pihak DAP dan PAS duduk berbincang dan berunding terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita perlu akur bahawa perundingan adalah suatu proses yang rumit. Kita mesti melakukannya demi rakyat dan negara. Saya yakin perkara yang rumit ini boleh dirungkai jika semua pihak mengamalkan sikap terbuka dan bertolak ansur,” jelasnya.
Kata Azmin lagi, beliau pada masa yang sama juga memahami dan menghormati tumpuan yang sedang diberikan oleh pimpinan tertinggi PAS menjelang muktamar tahunan 2017 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Kami yakin kebijaksanaan dan pengalaman luas kepimpinan PAS. Anggota PAS juga mahukan sebuah kerajaan bersih dan mereka komited kepada prinsip keadilan dan pembenterasan rasuah demi menyelamatkan negara untuk generasi masa depan,” ujarnya.
Oleh itu, Azmin menegaskan bahawa PKR masih meneruskan perbincangan dan rundingan dengan PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan parti-parti lain demi membuka tirai Malaysia Baru.
“Program bersama terus berjalan baik terutama di peringkat Negeri Selangor dan di akar umbi demi membela nasib semua rakyat,” katanya.
Baru-baru ini, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam satu sidang media memberitahu bahawa DAP sedia bekerjasama semula dengan PAS bagi memastikan tidak berlakunya pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang.
Walaubagaimanapun, pemimpin PAS seorang demi seorang tampil menolak cadangan DAP dengan alasan mereka mendakwa DAP mempunyai niat disebalik apabila mengajak PAS untuk bekerjasama semula.





0 ulasan: