KUALA LUMPUR: Penganjur Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disaran mengisytiharkan dana yang digunakan untuk menaja jemaah haji bagi mengelak program itu menjadi polemik dan dipolitikkan.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik, berkata polemik yang timbul ketika ini mungkin disebabkan penganjur tidak mendedahkan sumber dana diperoleh untuk menaja jemaah haji yang terpilih menyertainya.
“Seeloknya yayasan itu menjelaskan sumber digunakan untuk menaja jemaah haji. Dari mana ia diperoleh dan dibelanjakan, keuntungan perniagaan apa serta bahagian mana diperuntukkan untuk kebajikan untuk menghilangkan kekeliruan.
“Kita sebagai manusia tidak boleh melabel atau memutuskan seseorang itu memperoleh haji mabrur atau tidak, tetapi penjelasan mengenai sumber dana boleh merungkai polemik ini,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jemaah yang ditaja menerusi program itu tidak mendapat haji mabrur.
Abdullah berkata, adalah menjadi tanggungjawab mana-mana pihak yang ingin menaja umat Islam menunaikan haji memastikan dana digunakan adalah dari sumber halal dan tidak menimbulkan keraguan.
(BHONLINE)





0 ulasan: