MELAKA – Semua bayi baharu lahir di negeri ini bakal menikmati manfaat pendaftaran tabung pendidikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) secara automatik mulai tahun hadapan.
Simpanan itu dilaksanakan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengurus Tapem, Mustafa Musa berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM500,00 sebagai modal pembukaan akaun untuk setiap bayi tanpa mengira bangsa.
“Semua bayi yang baharu lahir dan bermastautin di negeri ini berhak untuk menikmati kemudahan tabung simpanan itu berjumlah RM20 yang akan mula diwujudkan mulai 1 Januari depan.
“Apabila ibu bapa mendaftar bayi mereka di Jabatan Pendaftaran Negara, secara automatik mereka akan diberi borang pendaftaran SSPN-i dan borang ini akan diuruskan oleh PTPTN bagi kemudahan mereka apabila ingin melanjutkan pengajian kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Sekolah Rendah sumbangan kerajaan negeri sesi 2017 peringkat Parlimen Kota Melaka yang disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Latiff Tamby Chik di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh di sini hari ini. – K! ONLINE





0 ulasan: